Prolog
DIA mengertap bibirnya rapat-rapat, separuh jiwanya hancur menjadi puing-puing yang tidak mampu untuk dicantumkan kembali. Absurd! Jiwanya tidak punya corak yang jelas, kabur dan bersimpang siur. Lelaki itu menarik tangannya. Dia membiarkan genggaman lelaki itu bertaut erat dengan sela jarinya. Dia inginkan sejalur kekuatan untuk sedikit bertahan dari rebah menyembah takdir. Dia ingin agar apa yang dilihatnya adalah satu mimpi yang kejam, dan bila ia sedar kembali lelaki yang dilihatnya itu akan tetap dengan keangkuhannya. Dia lebih suka begitu dari menemui kebenaran sepahit ini. “Kita balik.” Lelaki itu menarik tangannya, namun kakinya terasa terlalu longlai untuk berpijak. Dia benar-benar telah kehilangan kekuatan... Tubuhnya disambut lalu dipeluk dengan erat. Dia tidak lagi mampu untuk menangis kerana air matanya tidak lagi semurah dahulu. “Bawa saya pergi... bawalah ke mana pun asalkan saya takkan jumpa dia.” Lelaki itu memapahnya, membawanya ke kereta lalu ia beredar dengan laju meninggalkan banglo tersebut.
No comments:
Post a Comment